Sabtu, 8 Ogos 2020 | 10:33pm

Lelaki disyaki pukul penghantar makanan direman 4 hari

BUKIT MERTAJAM: Lelaki disyaki memukul penghantar makanan di Alma, Khamis lalu, dalam pergaduhan yang turut tular melalui media sosial, direman empat hari bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata suspek berusia 33 tahun yang juga pelajar kolej swasta itu ditahan semalam di sebuah hotel, di sini, pada jam 7.22 malam.

"Polis telah mendapat perintah reman bermula hari ini bagi membantu siasatan kes itu.

"Kami masih menjalankan siasatan lanjut, termasuk punca kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama, malam ini.

Beliau berkata, polis juga akan merekodkan keterangan mangsa dan pemilik rumah inap desa yang disewa lelaki itu untuk membantu siasatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kecederaan, dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan membabitkan ugutan jenayah.

Khamis lalu, polis menerima laporan daripada seorang penghantar makanan berumur 34 tahun mendakwa cedera dipukul suspek dalam kejadian jam 11.05 pagi di sebuah inap desa disewa pelanggan terbabit. – BERNAMA

Berita Harian X