Khamis, 6 Ogos 2020 | 5:09pm
Dua lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Marang bagi mendapatkan perintah reman selepas dipercayai menyamun dan mencederakan rakan mereka. - Foto Zatul Iffah Zolkiply
Dua lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Marang bagi mendapatkan perintah reman selepas dipercayai menyamun dan mencederakan rakan mereka. - Foto Zatul Iffah Zolkiply

Gaduh pasal hutang RM100

MARANG: Perselisihan faham berkaitan hutang RM100 menjadi punca seorang lelaki disamun serta dicederakan termasuk dicucuh badan dengan pemetik api oleh dua rakannya sendiri di Ajil, Hulu Terengganu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, dua suspek yang juga penganggur berusia 22 dan 36 tahun tidak berpuas hati dengan mangsa berusia 27 tahun.

Menurut sumber, mangsa yang sebelum itu berada di rumahnya di Ajil didatangi seorang daripada suspek yang kemudian membawanya ke sebuah rumah di sekitar kawasan Ajil.

Katanya, dua suspek bertindak mengikat kaki mangsa lalu mengelar tangan, menghempuk kepala mangsa dengan kayu dan mencucuh badan mangsa menggunakan pemetik api.

"Dalam kejadian itu, suspek turut mengambil dompet mangsa yang mengandungi wang tunai RM20, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta telefon bimbit mangsa.

"Bagaimanapun, mangsa berjaya meloloskan diri dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran sebelum ke Hospital Hulu Terengganu bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Semua suspek berjaya ditahan sewaktu membuat laporan polis berkaitan kes lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, malam semalam," katanya.

Sementara itu, Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 11 Ogos ini bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

Dua penganggur dibawa ke Mahkamah Majistret Marang bagi mendapatkan perintah reman selepas dipercayai menyamun dan mencederakan rakan mereka. - Foto Zatul Iffah Zolkiply

Berita Harian X