Rabu, 29 Julai 2020 | 12:19pm
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (kanan). Foto NSTP
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (kanan). Foto NSTP

Tindakan tegas 'kelab kayangan' degil, beroperasi ketika PKPP

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan 'memberi muka' terhadap kelab dan premis hiburan yang 'degil' meneruskan operasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata kelab dan premis hiburan akan dikenakan tindakan tegas jika didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, ia termasuk mendakwa segala kesalahan yang dilakukan penganjur kelab hiburan bersama pengunjungnya.

"Kita lihat ramai yang melanggar PKPP dan memandang ringan perkara ini sehingga ada kelab hiburan dibuka dan memberi kebenaran lebih 300 orang masuk.

"Kita sudah membuka siasatan terhadap premis yang didakwa 'kelab kayangan' dan akan mengambil tindakan apa saja kesalahan yang boleh disabitkan termasuk berkaitan kes dadah," katanya kepada pemberita selepas perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, pagi tadi.

BH Isnin lalu mendedahkan premis hiburan eksklusif di tengah ibu kota ini dikesan terus beroperasi sehingga awal pagi sambil menyediakan khidmat pelayan pelanggan (GRO).

Kedudukan premis hiburan di bangunan tinggi mungkin menjadi punca pengusahanya tidak mengendahkan pemeriksaan pihak berkuasa, apatah lagi laluan lif dan pintu masuk dikawal ketat petugas keselamatan pemilik bangunan.

Semakan mendapati, ada lebih 10 premis dan kelab hiburan yang beroperasi atas nama restoran dan bistro, menjalankan aktiviti mereka di atas bumbung beberapa bangunan sekitar ibu negara.

Berita Harian X