Isnin, 27 Julai 2020 | 11:57pm
Maritim Malaysia melakukan operasi di perairan. - Foto hiasan NSTP
Maritim Malaysia melakukan operasi di perairan. - Foto hiasan NSTP

Maritim Malaysia tahan 14 kru bot tanpa permit

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima bot nelayan tempatan bersama 14 kru warga asing tanpa permit dalam Op Benteng di perairan negara.

Maritim Malaysia juga menahan kru dalam tiga bot di tempat berasingan dilakukan dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dekat Bagan Datuk, kelmarin.

Pengarah Maritim Malaysia Cawangan Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman, berkata semua bot nelayan berkenaan ditahan selepas didapati melanggar syarat sah lesen bermula 22 Julai hingga 25 Julai lalu.

Beliau berkata, Kapal Maritim Nyalau menahan bot nelayan tempatan kelas C di dekat Pulau Jarak, Lumut pada 22 Julai.

"Kapal Maritim Malawali pula menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas B (Pukat Tunda) juga dekat Pulau Jarak, Sabtu lalu.

"Tiga lagi bot nelayan tempatan kelas A ditahan dengan kerjasama TLDM menerusi maklumat yang diterima daripada National Task Force (NTF), kelmarin kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa permit di Sungai Tiang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, 14 kru asing yang ditahan membabitkan seorang warga Thailand, tujuh warga Myanmar dan enam warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan mendapati kelima-lima bot berkenaan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959 / 63.

"Bot bersama tekong dan awak-awak warga asing itu dibawa ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu, Lumut untuk siasatan lanjut," katanya.

Berita Harian X