Isnin, 27 Julai 2020 | 4:19pm

Pesara guru rugi RM1.07 juta diperdaya Macau Scam

PETALING JAYA: Seorang pesara guru wanita berusia 71 tahun, kerugian RM1.07 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Mangsa mula menjadi sasaran selepas menerima satu panggilan daripada individu mendakwa petugas 'Pos Laju Malaysia' memaklumkan ada satu bungkusan dihantar dari Kepong ke Sabah mengandungi kad pengenalan atas nama mangsa, pada 25 Mei lalu.

Panggilan itu kemudian disambungkan pula kepada seorang lelaki lain mendakwa sebagai anggota polis berpangkat sarjan bernama 'Chong Sin Hadari'.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek mendakwa bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

"Mangsa diberitahu dia terbabit dengan sindiket kegiatan pengubahan wang haram dan butiran peribadinya kononnya digunakan seorang lelaki yang juga bekas pengurus bank yang sudah pun ditangkap.

"Mangsa kemudian diugut akan turut sama ditangkap dan direman sekiranya memberitahu perkara itu kepada orang lain," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, mangsa yang bimbang dengan ugutan itu terpaksa mengikut segala arahan suspek dengan memindahkan wang simpanannya ke dalam 10 akuan syarikat yang berbeza.

"Pemindahan wang dibuat secara berperingkat dengan transaksi pertama dibuat pada 15 Jun lalu dan yang terakhir pada 23 Julai lalu.

"Kesemua wang yang dipindahkan berjumlah RM1.07 juta sebelum menyedari menjadi mangsa penipuan dan membuat satu laporan polis semalam," kata Nik Ezanee.

Menurutnya lagi, pasukan siasatan kini sedang mengesan suspek serta akaun-akaun bank yang digunakan sindiket terbabit.

"Kita nasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan ugutan yang diterima daripada mana-mana pihak.

"Modus operandi sindiket penipuan terkini dikesan kerap menyasarkan golongan warga emas yang kurang pendedahan mengenai maklumat mengenai jenayah siber termasuk Macau Scam," kata beliau.

Dalam pada itu, katanya kadar jenayah jalanan di daerah ini membabitkan kes samun dan ragut tepi jalan dikesan meningkat 30 peratus sejak seminggu lalu.

"Kebanyakan kejadian dilaporkan berlaku di antara jam 6 pagi hingga 10 pagi di tempat yang menjadi tumpuan pejalan kaki terutama berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT).

"Justeru kita minta orang awam supaya lebih berhati-hati dan laporkan kepada polis sekiranya ternampak individu yang mencurigakan," kata beliau.

Berita Harian X