Jumaat, 24 Julai 2020 | 2:55pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pengasuh didakwa sebabkan kematian bayi

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua tuduhan bertindak cuai sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia setahun dan mengusahakan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) tidak berdaftar, tahun lalu.

Zainuhar Che Kar, 46, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bertindak cuai menyebabkan 'aspyxia' (sesak nafas) sehingga mengakibatkan kematian mangsa di Fasa 10, Jalan Presint 9, Putrajaya, antara jam 7.20 pagi hingga 10.10 pagi, 14 Oktober 2019.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zainuhar turut dituduh menjalankan operasi TASKA tidak didaftarkan di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 mengikut Seksyen 6(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, mereka yang disabitkan bersalah boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun dan kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah dengan alasan mempunyai anak masih belajar dan hanya berpendapatan RM1,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di Balai Polis Putrajaya setiap bulan sebelum menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Berita Harian X