Jumaat, 24 Julai 2020 | 2:00pm
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Asisten Komisioner (ACP) Mohd Rosni Mohd Lazim (tiga dari kiri) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, DSP Shamsul Farid Abdul Rani (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas susulan penahanan dua beradik dipercayai dalang sindiket keldai akaun di Gelugor, di sini. - NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Asisten Komisioner (ACP) Mohd Rosni Mohd Lazim (tiga dari kiri) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, DSP Shamsul Farid Abdul Rani (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas susulan penahanan dua beradik dipercayai dalang sindiket keldai akaun di Gelugor, di sini. - NSTP/Zuhainy Zulkiffli

2 beradik dalang sindiket keldai akaun dicekup

GEORGETOWN: Sindiket keldai akaun didalangi dua beradik berusia 20 dan 26 tahun di sini, tumpas selepas kegiatan mereka sejak setahun lalu dikesan pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Asisten Komisioner (ACP) Mohd Rosni Mohd Lazim, berkata mereka ditahan di kediaman mereka di Gelugor, di sini, pada 22 Julai lalu.

Katanya, tangkapan dibuat selepas menerima aduan daripada seorang mangsa, lelaki berusia 20-an membuat beberapa transaksi menerusi penyata akaunnya selepas pulang dari luar negara, pada Mac lalu.

"Mangsa pekerja kilang di luar negara itu mendakwa penyata pada empat akaun berkenaan menunjukkan transaksi sebanyak RM800,000 dan membuat laporan polis bagi kerana curiga aliran keluar masuk wang pada akaun itu.

"Siasatan awal, mangsa mendapati lelaki terbabit pernah membuka empat akaun beberapa bank, pada Februari lalu, selepas tertarik dengan tawaran kenalannya mengenai peluang menyewakan kad debit kepada ejen sebanyak RM500.

"Mangsa berminat dan dikehendaki mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) sebelum menghantar semua dokumen dan kad kepada suspek di satu alamat di Kuala Lumpur," katanya, hari ini.

Mohd Rosni berkata, akaun dibuka itu dipercayai digunakan sebagai 'keldai akaun', iaitu akaun milik individu disalah guna sindiket terbabit bagi menjalankan transaksi tanpa pengetahuan pemiliknya.

Dalang keldai akaun menggunakan individu tempatan sebagai 'orang tengah' sebagai transit untuk transaksi pemindahan wang menerusi akaun itu.

Katanya, keldai akaun membabitkan sindiket 'macau scam', 'African scam', Parcel Scam', pembelian dalam talian, pinjaman tak wujud dan judi dalam talian.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan dipercayai sindiket itu dijalankan secara rangkaian membabitkan beberapa lagi suspek.

"Polis sedang mengesan dua lagi pemilik akaun dipercayai turut menjadi mangsa sindiket ini," katanya lagi.

Antara barangan yang dirampas ialah sembilan kad debit pelbagai bank, 14 buku cek, 10 cop syarikat, 50 kad perniagaan, 13 dokunen pendaftaran syarikat dengan SSM dan dua telefon bimbit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Bagi pemilik akaun tindakan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana menolong menyembunyikan harta curi dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan.

Berita Harian X