Khamis, 23 Julai 2020 | 12:51pm
TERTUDUH Noor Aini didakwa pukul jiran. - NSTP/Ghazali Kori
TERTUDUH Noor Aini didakwa pukul jiran. - NSTP/Ghazali Kori

Suri rumah mengaku tidak bersalah pukul jiran

KUALA TERENGGANU: Suri rumah yang sebelum ini berdepan pertuduhan mengugut mahu mencederakan seorang wanita menggunakan sebilah parang sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memukul jirannya sehingga patah tangan kanan

Tertuduh, Noor Aini Mohammad, 35, dari Bukit Payong, di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Adib Rahim Awang, 57, menggunakan sebatang kayu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di jalan hadapan sebuah rumah di Taman Sri Payong, Bukit Payong, Marang jam 7.15 malam pada 14 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 24 Ogos depan tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini.

Semalam, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan mengugut jirannya yang juga anak kepada Adib Rahim menggunakan sebilah parang.

Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon ketika pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Difahamkan, perselisihan faham antara tertuduh dan dua beranak itu berpunca daripada kucing tertuduh dikatakan masuk ke rumah mangsa sehingga wujud pergaduhan.

Berita Harian X