Selasa, 21 Julai 2020 | 4:36pm
Siti Nurul Ain mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, membuat hantaran jelik di Facebook terhadap kerabat diraja Selangor. Foto/Ihsan IPD Shah Alam
Siti Nurul Ain mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, membuat hantaran jelik di Facebook terhadap kerabat diraja Selangor. Foto/Ihsan IPD Shah Alam

Suri rumah mengaku bersalah hina kerabat diraja Selangor

SHAH ALAM: Seorang suri rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menghina kerabat diraja Selangor menerusi Facebook, pada Jun lalu.

Tertuduh, Siti Nurul Ain Mat Nayan, 32, dari Pekan, Pahang, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, Siti Nurul didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik mengenai kerabat diraja Selangor menerusi Facebook dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Prosiding pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah memerintahkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dan menetapkan, Jumaat ini untuk dijatuhkan hukuman.

Berita Harian X