Isnin, 20 Julai 2020 | 11:48am

Pengurusan kes Patrick Teoh 7 September

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menetapkan 7 September depan untuk pengurusan kes selebriti dan deejay radio, Patrick Teoh, yang membuat dan memulakan penghantaran komen jelik di laman sosial terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan institusi diraja Johor, Mei lalu.

Hakim Faiz Dziyauddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan memaklumkan kepada mahkamah mahu merujuk kes berkenaan kepada Mahkamah Tinggi.

Ia berikutan pihak pembelaan berpendapat terdapat isu Perlembagaan yang perlu dijelaskan sebelum kes berkenaan diteruskan untuk perbicaraan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pembelaan yang memohon supaya penjamin Teoh iaitu isterinya, Chan Hui Min, 52, tidak perlu hadir ke prosiding kes seterusnya berikutan perlu menguruskan anak mereka yang masih bersekolah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam Wong Hong Yi dan M Puravalen.

Terdahulu, Teoh yang nama sebenarnya, Teoh Kang Yong, 73, hadir ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru dengan bertongkat dan berkemeja putih ditemani isterinya, kira-kira jam 8.15 pagi

Pada 14 Jun lalu, Teoh, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menghina Tunku Mahkota Johor, dan institusi diraja Johor, Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, Teoh didakwa menggunakan laman sosial Facebook Page 'Patrick Teoh' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik sifatnya iaitu 'Can anyone work out what this prince fler is trying to achieve with his video? If your initial reaction to watching is it What The F*CK!!! You are spot on. Niamah' dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 233(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Teoh, ditahan polis di Petaling Jaya, Selangor pada 9 Mei lalu atas tuduhan menghina Tunku Mahkota Johor, dan institusi diraja Johor, sebelum keterangannya diambil.

Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan direman lima hari mulai 10 Mei lalu sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

Deejay radio, Patrick Teoh (dua dari kiri) bersama peguamnya hadir ke mahkamah sesyen 2 bagi kes sebutan semula atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen jelik di laman sosial terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan institusi diraja Johor di Kompleks Mahkamah Johor. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Deejay radio, Patrick Teoh (dua dari kiri) bersama peguamnya hadir ke mahkamah sesyen 2 bagi kes sebutan semula atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen jelik di laman sosial terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan institusi diraja Johor di Kompleks Mahkamah Johor. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X