Isnin, 20 Julai 2020 | 10:55am
Keadaan van kilang yang terbabit nahas di Kilometer 40 Jalan Sungai Petani-Baling berhampiran Kampung Chenerai, Kuala Pegang, awal pagi tadi. - Ihsan pembaca
Keadaan van kilang yang terbabit nahas di Kilometer 40 Jalan Sungai Petani-Baling berhampiran Kampung Chenerai, Kuala Pegang, awal pagi tadi. - Ihsan pembaca

1 maut, 4 parah van kilang nahas awal pagi

BALING: Seorang wanita maut, manakala empat lagi parah apabila van kilang dinaiki terbabit nahas di Kilometer 40 Jalan Sungai Petani-Baling berhampiran Kampung Chenerai, Kuala Pegang, awal pagi tadi.

Mangsa, Awatif Md Mahtar, 33, dari Kampung Memali, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian apabila van kilang membawa 10 pekerja wanita itu dipercayai berlanggar dengan sebuah kenderaan lain dalam kejadian kira-kira jam 5.10 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 5.25 pagi sebelum anggota tiba di lokasi 15 minit kemudian.

Beliau berkata, van kilang jenis Toyota Hiace itu dipercayai berlanggar dengan sebuah kenderaan lain, namun kenderaan terbabit didapati sudah tiada di tempat kejadian ketika anggotanya sampai.

"Sebaik saja tiba di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah van kilang bersama penumpang dan pemandunya terbabit kemalangan.

"Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi memotong bahagian van sebelum dapat mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, seorang penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara empat termasuk pemandu lelaki parah akibat tersepit, dan enam lagi penumpang cedera.

"Kita mengambil masa 25 minit untuk mengeluarkan semua mangsa dengan turut dibantu oleh pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan.

"Semua penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mayat mangsa yang maut pula dibawa ke Hospital Kulim," katanya.

Berita Harian X