Rabu, 15 Julai 2020 | 9:01pm
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta untuk menghadiri perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB. - Foto NSTP/Fathil Asri
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta untuk menghadiri perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB. - Foto NSTP/Fathil Asri

Nama Jho Low disembunyikan untuk lindungi Najib - Bekas CEO 1MDB

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu adalah menjadi kelaziman nama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tidak dinyatakan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi melindungi Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang disoal balas peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, bersetuju bahawa beliau diminta untuk mengikut kelaziman itu dan mengambil langkah 'menyembunyikan' pembabitan Jho Low daripada Lembaga Pengarah.

Wan Aizuddin kemudian mencadangkan bahawa alasan saksi itu 'menyembunyikan' pembabitan Jho Low adalah kerana beliau bersekongkol dengan ahli perniagaan terbabit bagi mendapatkan habuan daripada firma pelaburan Goldman Sachs.

Shahrol Azral bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu. Beliau memberikan keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi bekas perdana menteri itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu, saksi pendakwaan kesembilan itu mengesahkan bahawa Jho Low terbabit dalam rancangan 1MDB pada tahun 2012 untuk mengambil alih syarikat pengendali loji janakuasa, Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dengan harga RM10.6 bilion.

Beliau turut mengesahkan bahawa Jho Low yang mencadangkan supaya Goldman Sachs bertindak sebagai penasihat kewangan bagi tawaran pengambilalihan Tanjong Energy oleh 1MDB.

Peguam kemudian mencadangkan kepada saksi bahawa peranan Jho Low adalah seperti seorang broker dalam perolehan itu. Bagaimanapun Shahrol Azral tidak setuju, sebaliknya berkata, ia adalah berperanan 'memudahkan pihak berkepentingan'.

Pelantikan Goldman Sachs oleh Jho Low juga tidak dinyatakan kepada Lembaga Pengarah bagi melindungi Najib.

Bagaimanapun, peguam itu mencadangkan bahawa berdasarkan dakwaan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) terhadap Jho Low dan pegawai Goldman Sachs, Roger Ng, jelas menunjukkan bahawa ahli perniagaan itu adalah seorang broker.

Menjawab soalan terbabit, Shahrol Azral berkata beliau tidak mengetahui butiran lengkap pendakwaan oleh DoJ.

Menjawab soalan peguam selanjutnya, Shahrol Azral mengakui bahawa Lembaga Pengarah 1MDB tidak dimaklumkan bahawa harga pengambilalihan Tanjong Energy dikurangkan sebanyak RM2.1 bilion yang bermakna 1MDB hanya perlu membayar RM8.5 bilion.

Lembaga Pengarah 1MDB hanya dimaklumkan bahawa harga perolehan adalah hingga RM10.6 bilion atau berkemungkinan lagi rendah.

Saksi kemudian dicadangkan oleh peguam bahawa berikutan itu, Jho Low dan Goldman Sachs sememangnya berniat untuk memperdayakan Lembaga Pengarah 1MDB.

Shahrol Azral menjawab, beliau tidak menyedari mereka memperdayakan Lembaga Pengarah pada ketika itu, bagaimanapun apabila difikirkan kemudian, beliau bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Saksi turut bersetuju dengan cadangan bahawa Goldman Sachs dianggap melanggar tanggungjawab fidusiari terhadap syarikat dalam pengambilalihan Tanjong Energy.

Bagaimanapun Shahrol Azral menafikan cadangan peguam bahawa beliau juga melanggar tanggungjawab fidusiari ke atas 1MDB dalam kapasitinya selaku CEO.

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta untuk menghadiri perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB. - Foto NSTP/Fathil Asri
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta untuk menghadiri perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB. - Foto NSTP/Fathil Asri

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah, Najib dijadualkan berucap pada persidangan Dewan Rakyat esok.

Sehubungan itu, Muhammad Shafee mencadangkan supaya perbicaraan esok berakhir jam 1.30 tengah hari kerana anak guamnya memilih untuk berucap pada jam 2 petang.

Ahli Parlimen yang juga seorang tertuduh dikecualikan daripada menghadiri prosiding di mahkamah di mana tindakan menghalang mereka daripada menghadiri sidang boleh tertakluk kepada menghina Parlimen.

Sequerah kemudian bertanya kepada peguam sama ada ia bermakna beliau (hakim) dikira menghina Parlimen jika tidak membenarkan Najib menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Muhammad Shafee menjawab; "Ahli Parlimen ada keistimewaan untuk menghadiri sidang."

Sequerah bagaimanapun mengarahkan prosiding berjalan seperti biasa esok.

"Saya memahami beliau (Najib) ada tanggungjawab, tetapi mahkamah ini ada tanggungjawab juga. Perbicaraan bersambung esok (hari ini) daripada 9.30 pagi sehingga 4.30 petang," katanya.

Berita Harian X