Rabu, 15 Julai 2020 | 3:33pm
Gambar daripada rakaman video menunjukkan anggota penguat kuasa MPS (baju biru) berdepan provokasi oleh seorang peniaga yang menjual jagung ketika tindakan sita dijalankan. - Ihsan pembaca
Gambar daripada rakaman video menunjukkan anggota penguat kuasa MPS (baju biru) berdepan provokasi oleh seorang peniaga yang menjual jagung ketika tindakan sita dijalankan. - Ihsan pembaca

MPS lapor polis provokasi peniaga jagung

KUALA LUMPUR: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membuat laporan polis berhubung tindakan provokasi seorang penjaja terhadap anggota penguat kuasa di Pasar Selayang Jaya, di sini, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad, berkata penguat kuasa membuat pemeriksaan di pasar itu susulan aduan ada beberapa penjaja berniaga tanpa lesen.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, kami dapati beberapa penjaja tanpa lesen berniaga di sekitar pasar itu.

"MPS kemudian mengeluarkan tiga kompaun dan arahan sita terhadap tiga peniaga terbabit.

"Bagaimanapun, anggota penguat kuasa MPS berdepan provokasi oleh seorang daripada peniaga berkenaan yang menjual jagung ketika tindakan sita dijalankan.

"Peniaga itu yang juga pemegang kad pemastautin tetap (PR) gagal memberikan kerjasama dan melakukan provokasi serta menimbulkan kekecohan ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rekod MPS mendapati peniaga jagung itu pernah diberi amaran selain dikenakan kompaun dan sita.

"Namun, peniaga itu tetap berdegil dan meneruskan aktiviti perniagaan. Sebagai pemegang kad PR, dia tidak layak untuk memohon permit penjaja berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) Bilangan 20/2020.

"Selain laporan polis, MPS juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap individu yang merakam dan menyebarkan video sehingga menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta menjejaskan nama baik MPS," katanya.

Sebelum ini, satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan beberapa anggota penguat kuasa MPS sedang bertekak dengan peniaga jagung itu.

Berita Harian X