Selasa, 14 Julai 2020 | 11:36pm
Sebahagian kayu nibong dirampas di kawasan perairan Inderasabah, petang semalam. NSTP/ Ihsan Maritim Malaysia
Sebahagian kayu nibong dirampas di kawasan perairan Inderasabah, petang semalam. NSTP/ Ihsan Maritim Malaysia

Maritim Malaysia rampas 820 kayu nibong 'terapung'

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 820 batang kayu nibong dianggar bernilai RM246,000 dalam Ops Pluto Timur di kawasan perairan Inderasabah, dekat sini, petang semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 2.30 petang itu, bot peronda Maritim Malaysia terserempak beberapa ikatan kayu dalam keadaan terapung di kedudukan kira-kira 6.5 batu nautika dari selatan muara Sungai Inderasabah.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam, berkata pemeriksaan awal mendapati keseluruhan 41 ikatan kayu pelbagai saiz membabitkan 820 batang jenis nibong sedang hanyut.

Beliau berkata, siasatan awal tidak menemukan sebarang aktiviti mencurigakan, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan semua kayu itu cuba diseludup ke daerah Tawau melalui perairan kampung Inderasabah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota Maritim Malaysia menunjukkan kayu nibong ditemui terapung di kawasan perairan Inderasabah, petang semalam. NSTP/ Ihsan Maritim Malaysia
Anggota Maritim Malaysia menunjukkan kayu nibong ditemui terapung di kawasan perairan Inderasabah, petang semalam. NSTP/ Ihsan Maritim Malaysia

Siva Kumar berkata, semua kayu nibong terbabit ditunda ke Pos Hadapan Inderasabah, Zon Maritim Tawau untuk tindakan selanjutnya.

"Kes akan dirujuk Jabatan Perhutanan Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Perhutanan 1968," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat termasuk pelanggaran undang-undang atau aduan kecemasan di kawasan perairan Tawau dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Berita Harian X