Selasa, 14 Julai 2020 | 2:09pm
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli bersama pegawai meninjau dua kapal nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negeri di pangkalan Maritim, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli bersama pegawai meninjau dua kapal nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negeri di pangkalan Maritim, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar

Cubaan nelayan Vietnam loloskan diri gagal

KUALA TERENGGANU: Cubaan dua bot nelayan Vietnam bersama 28 awak-awak termasuk tekong untuk meloloskan diri dalam operasi yang dijalankan secara berasingan kelmarin, gagal.

Bot pertama dikesan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika menangkap ikan pada jarak 122 batu nautika dari perairan negeri ini, pada jam 11.17 pagi.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata tekong bot itu cuba meloloskan diri ke perairan Vietnam selepas ternampak kapal KM Satria yang sedang melakukan rondaan.

Jelasnya, berlaku adegan kejar mengejar kira-kira dua jam antara kapal KM Satria dan bot nelayan Vietnam yang didapati menceroboh perairan negara ini.

"Selepas kira-kira dua jam cuba meloloskan diri, bot berkenaan berjaya ditahan bersama 16 awak-awak termasuk tekong bot berusia antara 20 tahun dan 56 tahun.

"Pemeriksaan menemukan lima tan ikan, enam tan ikan baja dan 200 kilogram (kg) sotong serta 2,000 liter diesel," katanya pada sidang media di pejabat Maritim Malaysia Terengganu, di sini, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, ketika dalam perjalanan ke Pangkalan Maritim negeri, pegawai dan anggota KM Satria terserempak dengan sebuah lagi bot nelayan Vietnam bersama 12 awak-awak termasuk tekong sedang menangkap ikan pada jarak 106 batu nautika daripada perairan negeri, pada jam 3.27 petang.

Jelasnya, bot dan nelayan berusia antara 20 dan 56 tahun itu ditahan kapal KM Mulia, yang sedang membuat rondaan.

"Kita berjaya merampas 750 kg ikan, 500 kg ikan baja dan 1,000 liter diesel.

"Pegawai dan anggota melakukan ujian suhu badan ke atas semua nelayan termasuk tekong bot sebelum dibawa ke lokap Maritim negeri," katanya.

Muhammad Suffi berkata, jumlah keseluruhan hasil tangkapan laut, diesel dan peralatan menangkap ikan yang dirampas daripada dua bot terbabit bernilai hampir RM2 juta.

Beliau berkata, tekong bot dan nelayan itu sekali lagi menjalani proses saringan COVID-19, yang dilakukan pegawai Kementerian Kesihatan sebelum dimasukkan ke lokap Maritim Malaysia.

"Tekong dan nelayan Vietnam itu akan didakwa mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

"Tekong dan nelayan Vietnam itu juga akan didakwa mengikut Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Berita Harian X