Sabtu, 11 Julai 2020 | 4:21pm
Mangsa didapati terperosok dan tersepit di bawah sebuah lori treler membawa muatan sawit sebelum mayatnya berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba. - Foto ihsan JBPM
Mangsa didapati terperosok dan tersepit di bawah sebuah lori treler membawa muatan sawit sebelum mayatnya berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba. - Foto ihsan JBPM

Maut terperosok bawah treler

KULIM: Seorang penunggang motosikal maut selepas terperosok dan tersepit di bawah sebuah lori treler membawa muatan sawit di Lebuh Raya Kulim-Baling di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan bagi mengeluarkan mangsa pada 1.44 petang tadi.

Beliau berkata, seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech Park dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum tiba 20 minit kemudian.

"Setibanya di lokasi kejadian anggota operasi mendapati mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an itu terperosok dan tersepit di bawah lori treler terbabit bersama motosikalnya.

"Mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada 2.35 petang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kemalangan maut membabit penunggang motosikal yang terperosok dan tersepit di bawah sebuah lori treler membawa muatan sawit. - Foto ihsan JBPM
Kemalangan maut membabit penunggang motosikal yang terperosok dan tersepit di bawah sebuah lori treler membawa muatan sawit. - Foto ihsan JBPM

Berita Harian X