Jumaat, 10 Julai 2020 | 7:47am
Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring).-Foto NSTP/Ihsan JBPM
Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring).-Foto NSTP/Ihsan JBPM

Tiga maut, dua cedera kemalangan kereta, treler

KUALA BERANG: Tiga maut dan dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring) di sini, petang semalam.

Kejadian dipercayai berlaku jam 7.30 petang, membabitkan sebuah treler yang membawa muatan bijih besi amang dan Toyota Vios, dinaiki lima lelaki.

Mereka yang maut adalah pemandu Toyota Vios, Noriskandar Muzafar, 33, penumpang hadapan, Wan Ahmad Adam Murshidy Wan Rosli, 24, dan penumpang belakang, Zulkarnain Buniyami, 18.

Dua lagi penumpang kereta berkenaan, Afif Safwan Mohd Zuki, 21, dan Mohamad Rusydi Md. Said, 26, cedera manakala pemandu treler berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika lori treler dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan menghala ke Pelabuhan Gebeng, Kuantan, Pahang.

Katanya, lima lagi lelaki yang menaiki Toyota Vios pula dikatakan, dalam perjalanan dari arah Bera, Pahang menghala ke Perak.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dikatakan melanggar lopak air lalu hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan treler.

"Kereta terbabit merempuh bahagian hadapan treler menyebabkan tiga meninggal dunia di tempat kejadian.

"Dua yang cedera dibawa Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan manakala mayat tiga mangsa dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Pegawai Bomba Kanan 11, Mohd Zumizan Sidek, berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.59 petang sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat dua mangsa tersepit di bahagian pemandu dan bahagian penumpang hadapan kereta Toyota Vios.

"Bomba mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan dua mangsa yang maut itu. Empat mangsa lagi termasuk seorang sudah meninggal dunia dikeluarkan orang awam sebelum mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Hulu Terengganu," katanya.

Berita Harian X