Rabu, 8 Julai 2020 | 7:20pm
Kereta yang terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal menyebabkan budak perempuan empat tahun dan bayi tujuh bulan parah. - Foto NSTP/Norsyazwani Nasri
Kereta yang terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal menyebabkan budak perempuan empat tahun dan bayi tujuh bulan parah. - Foto NSTP/Norsyazwani Nasri

Budak 4 tahun maut, bayi 7 bulan parah motosikal bapa kemalangan

KUCHING: Budak perempuan empat tahun maut manakala adik lelakinya berusia tujuh bulan parah selepas motosikal yang dinaiki bersama ibu dan bapa mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu Isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu jam 12.01, mangsa Tania Tia Phua, 4, yang cedera di kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak (HUS), jam 1.15 pagi.

Bayi lelaki itu Joepian Phua, cedera parah di muka dan anggota badan manakala bapa mereka Jinson Jimbar, 31, cedera ringan dan ibu mereka Phua Choon Shiang, 35, cedera parah di paha.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata nahas berlaku apabila kereta Honda Jazz dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun yang datang dari arah Batu 3, membelok ke kanan untuk masuk ke Jalan Hospital.

"Kereta itu dilanggar di sebelah kiri oleh penunggang motosikal SYM dari arah pusat bandar menghala ke arah Batu 3," katanya dalam kenyataan.

Alexson berkata, berdasarkan laporan pemandu kereta, lampu isyarat warna hijau ketika dia membelok ke kanan.

Polis menahan kenderaan terbabit untuk pemeriksaan lanjut dan tangkapan dilakukan terhadap pemandu kereta di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sampel darah pemandu kereta turut diambil untuk analisis alkohol dalam darah dan dirakam percakapan sebelum dibebas dengan jaminan polis.

Berita Harian X