Jumaat, 3 Julai 2020 | 7:02pm
Suspek kes bunuh dan culik Datuk Seri dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk disambung reman. - Foto JAIS
Suspek kes bunuh dan culik Datuk Seri dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk disambung reman. - Foto JAIS

Dalang utama culik, bunuh ahli perniagaan disambung reman

KUALA LUMPUR: Seorang ahli politik bergelar Datuk dipercayai menjadi dalang utama menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dibawa ke Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, hari ini untuk disambung reman.

Suspek dibawa bersama seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh bagi proses sambung reman yang tamat hari ini, bagi membantu siasatan kes sama.

Peguam suspek, Datuk N Sivanathan, berkata mahkamah bersetuju membenarkan anak guamnya disambung reman selama tujuh hari bermula hari ini.

"Sambung reman dalam tempoh sama turut diberi kepada lelaki warga Bangladesh.

"Maklumat lanjut saya akan maklumkan kemudian," katanya di sini, hari ini.

Semalam, empat individu yang disyaki terbabit dalam kes penculikan dan pembunuhan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri disambung reman hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat berkata, semua suspek termasuk seorang warga Bangladesh disambung reman lima hari sehingga 6 Julai ini.

Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 3(3) Akta Culik 1961 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sabtu lalu, mayat dipercayai ahli perniagaan itu ditemui dibuang di lereng bukit di kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa yang juga seorang pemaju hartanah berusia 55 tahun, diculik ketika berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 10.30 pagi 10 Jun lalu.

Selepas hampir 18 hari diculik, mayatnya ditemui dalam belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya, Rawang, kira-kira jam 9 pagi Sabtu lalu.

Berita Harian X