Rabu, 1 Julai 2020 | 11:06am
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan berhampiran susur keluar Yong Peng Selatan. - Foto Bomba Johor
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan berhampiran susur keluar Yong Peng Selatan. - Foto Bomba Johor
BAHAGIAN hadapan lori yang remuk selepas merempuh belakang treler berdekatan susur keluar Yong Peng Selatan - Foto Bomba Johor
BAHAGIAN hadapan lori yang remuk selepas merempuh belakang treler berdekatan susur keluar Yong Peng Selatan - Foto Bomba Johor

Pemandu, 2 kelindan lori maut kemalangan

BATU PAHAT: Seorang pemandu lori bersama dua kelindannya maut apabila kenderaan dinaiki mereka remuk sejurus merempuh bahagian belakang sebuah lori kontena.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.40 pagi di Kilometer 100.3 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Yong Peng, di sini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim, berkata maklumat diterima mengatakan lori dipandu Woo Wai Keat, 27, merempuh lori kontena yang berada di laluan kiri lebuh raya menuju selatan.

Berikutan itu, katanya Wai Keat bersama dua kelindan iaitu Edy Suherman, 25, dan Ujang Jamaludin, 20, masing-masing tersepit pada ruang hadapan lori dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

"Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, akibat kecederaan parah dialami.

"Bagaimanapun pemandu lori kontena, 37, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, dua jentera dengan lapan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu.

"Kita mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit, sebelum mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X