Ahad, 28 Jun 2020 | 10:34pm
Satu daripada dua bot nelayan warga Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia melalui Op Khas Naga di perairan Terengganu, semalam. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
Satu daripada dua bot nelayan warga Vietnam yang ditahan Maritim Malaysia melalui Op Khas Naga di perairan Terengganu, semalam. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

2 bot bersama 27 nelayan Vietnam ditahan - Maritim Malaysia

KUALA TERENGGANU: Dua bot nelayan bersama 27 tekong dan awak-awak Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui rondaaan dalam Op Khas Naga di perairan negeri ini, semalam.

Kedua-dua bot ditahan pada jarak 100 hingga 101 batu nautika dari Kuala Terengganu, selepas masing-masing memiliki nombor pendaftaran mencurigakan, selain turut dipadam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata pemeriksaan lanjut mendapati semua 27 tekong dan nelayan berusia antara 18 hingga 50 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen sah.

"Mereka ditahan untuk tindakan lanjut bersama hasil tangkapan laut, diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dengan nilai rampasan dianggarkan RM2 juta.

"Kedua-dua bot bersama nelayan terbabit kemudian dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia, selain Akta Imigresen kerana tekong dan kru tidak memiliki dokumen sah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BOT nelayan bersama awak-awak warga Vietnam ditahan Maritim Malaysia melalui Op Khas Naga di perairan Terengganu, semalam. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
BOT nelayan bersama awak-awak warga Vietnam ditahan Maritim Malaysia melalui Op Khas Naga di perairan Terengganu, semalam. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

Muhammad Suffi berkata, tindakan menangkap dan menahan bot nelayan asing dikuatkuasakan semula sebagaimana pengumuman Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, pada 24 Jun lalu.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran, yang hanya akan merugikan negara.

"Sebarang aduan berhubung salah laku di perairan negara boleh dibuat melalui talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu," katanya.

Berita Harian X