Sabtu, 27 Jun 2020 | 1:56pm
LOKASI kejadian kes pergaduhan menyebabkan seorang pekedai maut di Kampung Pulau Penampang, Jalan Sulaman, Manggatal, petang semalam. - Foto Juwan Riduan
LOKASI kejadian kes pergaduhan menyebabkan seorang pekedai maut di Kampung Pulau Penampang, Jalan Sulaman, Manggatal, petang semalam. - Foto Juwan Riduan

8 ditahan kes pukul pekedai hingga mati

KOTA KINABALU: Polis menahan lapan individu termasuk empat wanita manakala dua lagi lelaki masih diburu selepas dipercayai terbabit kes pergaduhan menyebabkan seorang pekedai maut di Kampung Pulau Penampang, Jalan Sulaman, Manggatal, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata semua suspek, empat lelaki dan empat wanita ditahan di beberapa lokasi berasingan bermula jam 7 malam hingga 9.20 malam tadi.

Katanya, dua lagi suspek lelaki yang disyaki terbabit dalam pergaduhan itu masih bebas dan usaha memburu mereka sedang dijalankan.

"Siasatan awal mendapati dalam kejadian jam 3 petang itu, seorang budak perempuan berusia sembilan tahun datang ke kedai runcit mangsa untuk membeli dua botol air mineral berharga RM2.

"Mangsa kemudian memulangkan baki RM3 kepada kanak-kanak itu yang menimbulkan rasa tidak puas hati ibunya.

"Ibu budak itu datang ke kedai runcit milik mangsa namun mangsa mendakwa wang yang diberikan oleh anaknya hanya RM5," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, susulan itu bapa kepada budak itu turut datang ke kedai berkenaan sebelum berlaku pertengkaran mulut.

"Suspek kemudian bertindak menumbuk dada dan kepala mangsa berkali-kali serta turut memukul mangsa menggunakan batang besi.

"Isteri mangsa yang melihat kejadian itu, bertindak memukul kepala suspek dengan kayu menyebabkan suspek cedera. Anak saudara mangsa yang berada di tempat kejadian turut dipukul.

Habibi berkata, suspek dihantar ke hospital untuk rawatan tetapi mangsa kemudiannya dipukul dua lelaki (yang masih bebas) menggunakan batang paip dan kayu menyebabkannya rebah serta tidak sedarkan diri manakala dua lelaki berkenaan melarikan diri.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada jam 4.49 petang oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.

"Hasil siasatan di lokasi kejadian menemui tiga batang kayu dan satu batang paip plastik yang dipercayai digunakan oleh suspek yang masih bebas. Siasatan masih diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Berita Harian X