X
Isnin, 22 Jun 2020 | 2:51pm

Polis tumpaskan kegiatan edar dadah, ketum

SUBANG JAYA: Tiga lelaki termasuk seorang warga Bangladesh diberkas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Subang Jaya kerana disyaki mengedar dadah syabu di Bandar Sunway, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman, berkata kesemua individu yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditahan pada jam 8.30 malam.

"Kita merampas 20 bungkusan berisi dadah syabu dengan berat 21 kilogram dianggarkan bernilai RM800,000 dan ujian air kencing ke atas kesemua suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah.

"Semakan lanjut turut mendapati seorang daripada mereka mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kes dadah dan satu kes jenayah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, hari ini.

Risikin berkata, pihaknya turut menyita wang tunai RM10,000 serta dua unit kereta iaitu jenis Proton Iriz dan Honda City.

"Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam kes berasingan, Risikin memaklumkan pihaknya memberkas seorang pemandu lori yang disyaki mengedar 54 bungkusan plastik berisi daun ketum di Bukit Puchong, di sini, Jumaat lalu.

"Kita mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tasik Prima, pada jam 10 malam, dan mengekori lori berkenaan sehingga Jalan Maju Jaya, sebelum suspek bertindak memecut laju kenderaan itu setelah menyedari kehadiran polis.

"Kita telah mengejar lori berkenaan dan berjaya memintasnya di persimpangan lampu isyarat di Puchong Prima 2, seorang lelaki berusia 30-an yang memandu lori itu turut ditahan," katanya.

Beliau berkata, anggaran bungkusan yang dirampas adalah 12 kilogram.

"Siasatan lanjut mendapati suspek membawa bungkusan itu dari Teluk Intan, Perak, untuk diedarkan ke sekitar Bukit Puchong.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Berita Harian X