Ahad, 21 Jun 2020 | 9:14am
Lori yang membawa pelbagai jenis makanan sejuk beku untuk diseludup ke Thailand dirampas di pangkalan haram Ajis, Nibong, di sini, petang semalam. - Foto ihsan PGA
Lori yang membawa pelbagai jenis makanan sejuk beku untuk diseludup ke Thailand dirampas di pangkalan haram Ajis, Nibong, di sini, petang semalam. - Foto ihsan PGA

Diserbu ketika leka punggah barang seludup

TUMPAT: Beberapa penyeludup yang sedang leka mengangkut makanan sejuk beku pelbagai jenis di tebing Sungai Golok, di sini, terkejut apabila diserbu pihak berkuasa.

Dalam serbuan pada jam 3.30 petang semalam di pangkalan haram Ajis, Nibong, di sini, sepasukan anggota dari Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang menjalankan rondaan di kawasan sekitar Jalan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) antara Pos Pisau Raut ke Pos Nibong, ternampak sebuah lori dalam keadaan mengundur di tebing Sungai Golok di pangkalan haram terbabit.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Azhari Nusi, berkata semasa anggotanya menghampiri, mereka melihat aktiviti pemunggahan barang antara lori terbabit ke dalam bot enjin galah yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa lelaki melarikan diri menggunakan bot ke negara jiran bersama sejumlah barang yang sempat dipunggah, dipercayai untuk diseludup.

"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam lori terbabit mendapati pelbagai barangan

sejuk beku seperti daging lembu, pelbagai organ lembu sejuk beku.

"Pemandu lori dan kelindannya yang masing-masing berusia 34 dan 20 tahun ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azhari berkata, nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM80,709.80 dan kesemua rampasan serta kenderaan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 11 (2) Akta MAQIS 2011.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati barangan itu dipercayai untuk diseludup ke Thailand bagi pasaran di sana dan ia dijalankan melalui pengkalan haram bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.

Berita Harian X