Sabtu, 20 Jun 2020 | 7:44am

Operator kilang maut kemalangan

KUALA LUMPUR: Seorang operator kilang maut manakala seorang pegawai kanan polis parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di jalan Puncak Alam dekat Shah Alam, semalam.

Dalam kejadian pada jam 7.27 malam itu, lelaki berusia 30 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata wanita yang bertugas sebagai pegawai penyiasat narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh berusia 39 tahun pula dilaporkan parah di bahagian kepala, pinggang dan kaki.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta Mitsubishi dipandu lelaki itu dari arah Shah Alam menghala ke Puncak Alam hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Kereta lelaki berkenaan seterusnya merempuh bahagian sisi kiri kereta Honda City dipandu pegawai polis itu. Akibat rempuhan terbabit, pemandu Mitsubishi itu tersepit sebelum disahkan maut.

"Pegawai terbabit turut tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan pihak bomba dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan susulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, siasatan lanjut mendapati terdapat saksi di lokasi kejadian.

"Keadaan jalan licin dan gelap tanpa lampu selain hujan gerimis ketika kemalangan berlaku.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X