Khamis, 18 Jun 2020 | 5:30pm

Polis rampas 5,000 biji pil kuda

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas 5,000 biji pil kuda dan 52 gram syabu dengan anggaran nilai RM70,200 dalam rampasan berasingan.

Rampasan dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sekitar Kota Bharu pada petang kelmarin dan malam tadi.

Ketua Polis daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata empat lelaki berusia 18 hingga 24 tahun yang dipercayai pengedar dadah ditahan.

"Bagi kes pertama, seorang remaja berusia 18 tahun ditahan pada jam 2 petang Selasa lalu, di tepi jalan di Kampung Panjang Binjai, di sini selepas ternampak suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik dihampiri dan anggota memperkenalkan diri, remaja itu cuba melarikan diri dan berlaku sedikit pergelutan namun dia berjaya ditahan.

"Pemeriksaan di tubuh suspek menjumpai satu bungkusan plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 52 gram di poket hadapan seluarnya dan ia dianggarkan bernilai RM5,200," katanya ketika sidang media di IPD Kota Bharu, di sini, hari ini.

Pada hari yang sama iaitu jam 5.30 petang, tangkapan dua orang penganggur berusia 18 dan 24 tahun dibuat di Kampung Demit, Kubang Kerian yang ketika itu sedang menunggu pelanggan di atas motosikal.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dibuat menemui plastik merah jambu di tangan pembonceng iaitu remaja berusia 18 tahun yang mengandungi 15 paket plastik biru yang terdapat 3,000 biji pil kuda bernilai RM45,000.

Dalam serbuan terbaharu pula iaitu pada jam 7.30 malam tadi di sebuah bangsal di Kampung Panchor, di sini, Abdul Rahim berkata anggotanya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai sedang menunggu pelanggan.

"Hasil pemeriksaan dibuat menemui satu plastik pembungkus lampin pakai buang yang berikat getah dan mengandungi 10 paket plastik biru yang terdapat sejumlah pil berwarna kemerahan dan kehijauan dipercayai pil kuda.

"Jumlah kesemua pil kuda itu sebanyak 2,000 biji dengan anggaran nilai RM20,000," katanya.

Abdul Rahim berkata hasil ujian saringan yang dibuat, suspek berusia 24 tahun positif Methampethamine dan memiliki rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah manakala tiga lagi negatif.

Beliau berkata, bekalan semua dadah itu dipercayai diperoleh dari Thailand yang diseludup melalui pangkalan haram dan untuk jualan sekitar Kota Bharu.

"Semua suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan hari ini sehingga 23 dan 24 Jun.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 5,000 biji pil kuda dan 52 gram syabu dengan anggaran nilai RM70,200 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kota Bharu ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 5,000 biji pil kuda dan 52 gram syabu dengan anggaran nilai RM70,200 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kota Bharu ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X