Khamis, 18 Jun 2020 | 4:41pm
Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam di kawasan penerokaan haram Hutan Simpan Berkelah - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam di kawasan penerokaan haram Hutan Simpan Berkelah - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

40 hektar Hutan Simpan Berkelah diceroboh

MARAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang memusnahkan tanaman kelapa sawit seluas 40 hektar yang ditanam dengan menceroboh Hutan Simpan Berkelah dalam satu operasi hari ini.

Kegiatan itu dipercayai didalangi pihak tertentu yang meneroka secara haram untuk dijual kepada pihak lain bagi tanaman kelapa sawit di Kompartment 141 hutan simpan berkenaan.

Pegawai Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran, Ismail Ali Kamarudeen, berkata pihaknya melancarkan Operasi Tebas selepas menerima maklumat dan siasatan kegiatan itu.

Menurutnya, difahamkan setiap lot tanah seluas dua hektar dijual dengan harga RM15,000 dan tanah terbabit perlu diusahakan dengan tanaman kelapa sawit.

Projek berskala besar itu dilakukan secara berperingkat bagi mengaburi pihak berkuasa terutama Unit Penguat Kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

"Namun hasil aduan orang awam, kita berjaya mengesan kegiatan itu yang terbesar pernah berlaku di daerah ini. Turut disita jentolak dan lori yang digunakan membersih kawasan terbabit termasuk membina teres.

"Saya yakin pencerobohan Hutan Simpan Berkelah untuk projek pertanian itu didalangi beberapa individu, pihak terbabit meraih pendapatan lumayan hasil jualan lot tanah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi yang melawat kawasan perobohan pada Operasi Tebas, hari ini.

Ismail berkata, difahamkan penduduk Kampung Luit tidak menduga pencerobohan hutan yang terletak dalam kawasan kampung mereka itu.

Kegiatan itu juga berselindung di sebalik aktiviti perlombongan berlesen yang diusahakan berhampiran tempat itu.

Katanya, pencerobohan berskala besar itu bukan sahaja merosakkan hutan simpan berkenaan tetapi mengundang berlakunya pencemaran Taman Eko Rimba (TER) Berkelah yang menjadi antara produk pelancongan terkenal di daerah ini.

"Kita sedang mengesan dalang kegiatan itu bagi mengheret mereka ke muka pengadilan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.

Sementara itu Samsu Anuar berkata, kawasan yang dibersihkan itu akan ditanam dengan spesis pokok balak.

"Saya sudah mengarahkan pegawai Bahagian Pembangunan JPNP untuk segera mengadakan program menanam pokok balak yang dilakukan secara berperingkat," katanya.

Berita Harian X