Rabu, 17 Jun 2020 | 3:31pm
Pasukan PPMW5 ketika melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah kapal minyak yang sarat muatan diesel sebanyak 32,000 liter di perairan negara, pagi semalam.-Foto NSTP/Erika George
Pasukan PPMW5 ketika melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah kapal minyak yang sarat muatan diesel sebanyak 32,000 liter di perairan negara, pagi semalam.-Foto NSTP/Erika George

Diesel seludup bernilai RM55,360 dirampas

BINTULU: Sindiket penyeludupan diesel tumpas selepas bahan bakar sebanyak 32,000 liter yang dianggarkan bernilai

RM55,360 berkenaan dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah 5(PPMW5) Bintulu dari sebuah kapal di perairan Bintulu pagi semalam.

Komandernya, Asisten Komisioner (ACP) Shamsol Kassim, berkata dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11 pagi itu, kapal terbabit yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan bot peronda PPMW5 pada kedudukan 7.09 batu nautika dari Kuala Bintulu.

"Pemeriksaan yang turut disertai Unit Risikan Marin (URM) itu menemui bahan bakar itu disimpan pada bahagian bahagian bawah komponen kapal berkenaan," katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat yang dijalankan ke atas juragan, kapal minyak terbabit turut gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen yang sah berkaitan pemilikan dan kebenaran menyimpan minyak, yang mana beliau telah melakukan kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana memiliki, menyimpan barang kawalan tanpa permit, tanpa lesen atau tanpa Kebenaran khas Dari Pihak KPDNHEP.

Dua lagi kru kapal berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung cubaan menyeludup diesel ini.

"Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Bintuludan kes ini akan dirujuk serta diserahkan kepada pihak KPDNHEP Bahagian Bintulu untuk tindakan selanjutnya," tambah beliau.

Secara keseluruhannya tangkapan ini melibatkan sejumlah RM1. 56 juta yang mana kapal terbabit dianggarkan bernilai 1.5 juta termasuk peralatan digunakan mengepam minyak yang dianggarkan bernilai RM 6,600.

Berita Harian X