Selasa, 9 Jun 2020 | 4:40pm
Kang Ming Han sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini. - NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Kang Ming Han sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini. - NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Lelaki mengaku tidak bersalah pandu mabuk sehingga 2 cedera

KUALA KUBU BHARU: Seorang lelaki yang tular rakaman video dirinya memandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) didakwa bawah pengaruh alkohol dan merempuh kawasan tapak peniaga di Bukit Sentosa sehingga menyebabkan dua cedera pada bulan lalu, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Kang Ming Han, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ming Han didakwa memandu Toyota Hilux bawah pengaruh alkohol sehingga melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Ford dan mencederakan pemandunya, Farina Hazlin Shaiful Azmi, 28, serta penumpang, Yusanisah Mohamed Jais, 42.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Cempaka, Pekan Bukit Sentosa di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa, di sini, jam 6.30 petang 22 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Muhamad Amin, menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Namun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam, Muhammad Adhwa Azfar, memohon dibenarkan jaminan RM1,000 dengan alasan sebelum ini dikenakan ikat jamin RM20,000 atas pertuduhan lain.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pada 29 Mei lalu, Ming Han mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas dua pertuduhan melakukan cubaan membunuh dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis.

Sebelum ini, beberapa klip video insiden berkenaan tular dalam media sosial yang antara lain memaparkan beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam membaling kayu serta objek keras ke arah kereta itu yang dipandu secara melulu.

Kenderaan berkenaan turut dilihat merempuh gerai makanan di lokasi terbabit.

Berita Harian X