Ahad, 7 Jun 2020 | 4:53pm
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik pada sidang media berkaitan pencapaian Op Mule Siri 2/2020 Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini. - Foto Ghazali Kori
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik pada sidang media berkaitan pencapaian Op Mule Siri 2/2020 Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Jual ATM, pin nombor untuk dapat bayaran lumayan

KUALA LUMPUR: Terperdaya dengan bayaran antara RM200 hingga RM300 ditawarkan 'runner' yang direkrut sindiket keldai akaun menyebabkan 59 pemilik akaun sanggup menjual kad mesin juruwang automatik (ATM) dan nombor pin.

Selain itu, kesemua mangsa yang berusia antara 20 hingga 50 tahun turut terperdaya dengan janji manis lain kononnya bakal mendapat bayaran lumayan sekiranya berbuat demikian.

Bagaimanapun, sikap tamak mereka membawa padah selepas ditahan dalam serbuan berasingan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sekali gus membongkar kegiatan sindiket berkenaan membabitkan kerugian hampir RM2 juta dalam tempoh Januari hingga Mei lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, sindiket keldai akaun dikesan melantik 'runner' untuk memperdaya mangsa menjual kad ATM dan nombor pin sebelum 'runner' ini menjualnya semula kepada sindiket berkenaan dengan harga antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap satu kad.

Katanya, akaun itu akan digunakan sindiket berkenaan untuk melakukan transaksi jenayah siber dengan kerugian dianggarkan mencecah hampir RM2 juta sepanjang tahun ini.

"Operasi khas dikenali sebagai Op Mule dilancarkan pada April lalu berikutan peningkatan mendadak kes penipuan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

"Dulu kita pernah dengar rakyat kita jadi keldai dadah tetapi sekarang ini ramai masyarakat kita jadi keldai akaun.

"Di Terengganu sahaja, terdapat hanya 96 kes membabitkan kes siasatan jenayah siber multimedia seperti Macau Scam, Love Scam, e-belian (jualan dalam talian) dan sebagainya pada 2019, namun tahun ini sahaja iaitu sehingga Mei lalu, kita ada 279 kes," katanya pada sidang media berkaitan pencapaian Op Mule Siri 2/2020 Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dan Ketua JSJK Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud.

Mengulas lanjut, Roslee berkata, 56 daripada 59 pemilik akaun itu sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menyimpan barang curi dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Katanya, majoriti daripada mereka yang ditahan mendakwa teraniaya dan tidak mengetahui akaun bank miliknya disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

"Namun, alasan diberikan tidak boleh diterima kerana kita yakin pemilik akaun tahu sebelum bersetuju menjual kad akaun bank kepada pihak yang berkenaan," katanya.

Roslee turut menasihatkan masyarakat supaya tidak mendedahkan maklumat bank dan peribadi lain selain jangan mudah menerima tawaran untuk membantu melakukan pemindahan wang ke akaun tertentu.

"Jika kita mendapati ada jumlah wang dimasukkan ke dalam akaun bank tanpa diketahui daripada mana, segera buat semakan dengan pihak bank bagi menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa keldai akaun," katanya.

Berita Harian X