Ahad, 7 Jun 2020 | 8:14am
Ahli perniagaan dari Bukit Beruntung akan dituduh semula di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pada 9 Jun depan bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Ahli perniagaan dari Bukit Beruntung akan dituduh semula di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pada 9 Jun depan bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Ahli perniagaan dituduh semula Selasa ini

KUALA KUBU BHARU: Seorang ahli perniagaan akan dituduh semula pada Selasa ini (9 Jun) di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan membawa kecederaan kepada penjaja di Pasar Malam Pekan Bukit Sentosa, dalam kejadian 22 Mei lalu.

Tertuduh, Kang Ming Han, 32, didakwa buat kali ketiga di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin, berkata kertas siasatan seksyen itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, baru-baru ini.

Katanya, tertudah didakwa memandu ketika berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan membahayakan diri sendiri serta orang lain.

"Untuk kesalahan ini, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak kurang RM8,000 atau tidak melebihi RM20,000.

"Selain itu, dia juga telah dituduh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis pada 29 Mei lalu di mahkamah sama," katanya ketika dihubungi,hari ini.

Beliau berkata, tertuduh tidak mengaku bersalah atas kedua-dua seksyen berkenaan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza dan dibenarkan ikat jamin seorang penjamin dengan RM20,000.

Tertuduh diwakili peguambelanya, Muhammad Adhwa Azfar merayu Majistret meringankan kadar ikat jamin daripada RM30,000 yang dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mohamad Amin.

Arsad berkata, mengikut fakta kes pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh apabila mengeluarkan kata-kata kesat pada seorang anggota polis bernama Shahidan Abdul Khalil di Balai Polis Bukit Sentosa Hulu Selangor mengikut Seksyen 90 Akta Polis dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh terhadap penjaja iaitu Norisham Abdul Rashid, 42 dan Mahadin Senan 41, dan Baharum Ab Manaf, 61, dengan cara melanggar mangsa menggunakan kenderaan pikap Toyota Hilux.

Tertuduh didakwa melakukan pertuduhan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan di tapak Pasar Malam Pekan Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada jam 6.35 petang.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Untuk hukuman kedua-dua pertuduhan ini, Majistret menangguhkan perbicaraan semula pada 1 Julai depan.

Berita Harian X