Khamis, 4 Jun 2020 | 3:50pm
Puding buih yang didakwa menyebabkan keracunan makanan. - Foto BERNAMA
Puding buih yang didakwa menyebabkan keracunan makanan. - Foto BERNAMA

Kes kematian mangsa keracunan puding buih disiasat KKM - Polis

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu tidak menyiasat kes kematian seorang mangsa yang keracunan puding buih, di sini, semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, menjelaskan kes itu sebaliknya disiasat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Saya dimaklumkan bahawa kes kematian mangsa berusia 25 tahun dari Marang itu sedang disiasat oleh KKM," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan terhadap kes seorang mangsa keracunan puding buih yang meninggal dunia kira-kira jam 10.40 pagi semalam selepas 10 hari bertarung nyawa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, ketika dihubungi berkata pengusaha puding buih terbabit diberi tempoh hingga 14 hari untuk membersihkan dapur, termasuk perkakas digunakan.

"Kita akan melakukan pemeriksaan semula ke atas dapur pengusaha puding buih itu, Ahad ini.

"Jika kita berpuas hati dengan tahap kebersihan dan kaedah penyediaan makanan itu, pengusaha terbabit boleh meneruskan semula operasi selewat-lewat pada Isnin depan," katanya.

Bagaimanapun difahamkan, Jabatan Kesihatan negeri juga sedang menunggu arahan lanjut daripada KKM berhubung kes itu.

Berita Harian X