Rabu, 3 Jun 2020 | 12:42am
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA

Najib tidak patut dihukum berdasarkan pendapat umum - Peguam

KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bekas Perdana Menteri itu tidak sepatutnya dihukum semata-mata berdasarkan pendapat umum.

Farhan Read yang berhujah di akhir kes pembelaan berkata, kes rasuah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Najib, perlu dibicara berdasarkan fakta serta prinsip undang-undang.

Beliau berkata, memang tidak diragui bahawa kes berprofil tinggi itu mendapat perhatian luas dan kemarahan daripada orang ramai, namun mahkamah tidak boleh dipengaruhi pendapat umum.

Katanya, masyarakat tidak boleh disalahkan kerana tuduhan ke atas anak guamnya adalah serius tetapi isu yang dibangkitkan ketika perbicaraan perlu dilihat secara objektif.

Mengambil contoh, bukti bahawa menjadi kebiasaan bagi Najib mengeluarkan cek tanpa memeriksa baki wang dalam akaun banknya, Farhan berkata, ia adalah perkara biasa bagi anak guamnya berbuat demikian.

Tidak seperti orang kebanyakan yang perlu melakukan pemeriksaan setiap masa, peguam itu berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak perlu berbuat demikian.

"Ia adalah kerana tertuduh menerima wang dalam jumlah yang banyak melalui sumbangan daripada pemimpin Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

"Jadi, beliau tidak pernah peduli untuk memeriksa baki akaun apabila setiap kali mengeluarkan cek," katanya.

Farhan berkata, dakwaan bahawa Najib menyalahgunakan kedudukan untuk mempengaruhi keputusan syarikat SRC adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, Najib pada kebanyakan masa menyerahkan perjalanan hal ehwal syarikat kepada Lembaga Pengarah.

Berita Harian X