Selasa, 2 Jun 2020 | 2:31pm
Ketua ARMADA Wilayah Persekutuan, Zahin Zainal (tengah) menunjukkan laporan yang akan diserahkan kepada SPRM berkaitan isu salah guna kuasa yang didakwa membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Ketua ARMADA Wilayah Persekutuan, Zahin Zainal (tengah) menunjukkan laporan yang akan diserahkan kepada SPRM berkaitan isu salah guna kuasa yang didakwa membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Laporan SPRM terhadap bekas Menteri Kewangan, Peguam Negara

PUTRAJAYA: Beberapa bahagian Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung akaun bank seorang ahli perniagaan dibekukan.

Ketua ARMADA Wilayah Persekutuan, Zahin Zainal, berkata pihaknya menggesa SPRM untuk membuat siasatan terhadap dakwaan terbabit kerana tindakan itu didakwa salah guna kuasa kedua dua individu terbabit ketika berada dalam kerajaan.

"ARMADA tegas dan kita masih mengikuti prinsip undang-undang (rule of law) yang salah tetap salah, sekiranya dakwaan itu benar pihak berkuasa mesti ambil tindakan.

"Laporan ini dibuat supaya kita mendapat penjelasan dan siasatan sama ada dakwaan ini benar atau tidak. Penyalahgunaan kuasa digembar-gemburkan ini tidak sepatutnya berlaku.

"Pihak kami juga akan menyerahkan beberapa dokumen berkaitan isu itu bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan SPRM di sini, hari ini.

Antara bahagian ARMADA hadir membuat laporan di SPRM ialah ARMADA bahagian Putrajaya dan ARMADA Selangor.

Zahin berkata, pihaknya tidak akan membuat laporan sekiranya tiada bukti sahih dan mereka bukan hanya mendengar khabar angin semata-mata.

"Kami tidak akan berada di sini kalau tiada bukti sahih, kita tidak akan bawa sesuka hati. Jangan bebankan pihak berkuasa, banyak lagi urusan lain mereka perlu uruskan," katanya.

Berita Harian X