Isnin, 1 Jun 2020 | 9:22am
Penunggang motosikal retak tempurung kepala dan cedera di anggota badan selepas dirempuh pemandu warga emas yang mabuk di Jalan Raja Syed Saffi, Bintong malam tadi.- Foto ihsan pembaca
Penunggang motosikal retak tempurung kepala dan cedera di anggota badan selepas dirempuh pemandu warga emas yang mabuk di Jalan Raja Syed Saffi, Bintong malam tadi.- Foto ihsan pembaca

Lelaki cedera dilanggar pemandu mabuk

KANGAR: Seorang penunggang motosikal cedera termasuk retak tempurung kepala selepas dirempuh pemandu warga emas yang mabuk di Jalan Raja Syed Saffi, Bintong malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam, mangsa Bishamhadi Mohamad Hasbi, 41 dikatakan sedang menunggang motosikal untuk pulang dari kedai runcit sebelum suspek berusia 63 tahun yang memandu kereta Iswara terbabas ke kiri jalan dan merempuh mangsa dari belakang.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira 10 minit selepas kejadian berlaku.

"Suspek dari Kangar yang memandu dalam keadaan mabuk dikatakan ingin pulang ke rumahnya di Taman Bunga Padi.

"Bagaimanapun setibanya di hadapan pasar raya NFS AMG Trading, kereta suspek hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sehingga merempuh mangsa yang ketika itu sedang menunggang motosikal dan turut merempuh sebuah lori di parkir di bahu jalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, mangsa dan suspek dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun suspek melarikan diri dari hospital sebelum dia berjaya ditahan semula kira-kira satu jam selepas itu.

"Hasil ujian alkohol terhadap suspek mendapati dia memandu dengan kandungan alkohol melebihi had yang ditetapkan di dalam badan.

"Dia kini berada dalam tahanan polis dan akan dibawa reman pada pagi ini untuk siasatan lanjut, manakala mangsa kini dirawat di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X