Khamis, 28 Mei 2020 | 11:39pm

Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman penjara Dr Hamimah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang doktor atas pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM41.33 juta dan bersubahat memalsukan dokumen.

Dr Hamimah Idruss merupakan individu pertama di negara ini yang didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Dalam penghakimannya bertarikh 2 Mac lalu, Hakim Mahkamah Rayuan, P. Ravinthran, berkata mahkamah tidak menemukan kesilapan yang boleh dirayu dalam penghakiman Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

"Kami mendapati sabitan terhadap semua pertuduhan adalah kukuh," katanya.

Ravinthran berkata, mahkamah bagaimanapun menggantikan penalti RM6,394,530.72 dengan RM6,350,000 yang perlu dibayar Dr Hamimah atau penjara setahun.

Pada awal Februari lalu, panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Ravinthran, menolak rayuan Dr Hamimah terhadap sabitan dan hukuman penjara.

Dr Hamimah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen pada 21 Mac 2012, atas 18 pertuduhan, 10 daripadanya kerana bersubahat melakukan pemalsuan dengan tujuan menipu dan lapan lagi pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi lapan pertuduhan pengubahan wang haram itu, dia dijatuhi hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan, manakala bagi 10 tuduhan bersubahat, hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman dijalankan serentak.

Dr Hamimah, bekas Pengarah Safire Pharmaceuticals (M) Sdn Bhd, didakwa mengikut Seksyen 4 (1) AMLA kerana menerima hasil aktiviti haram sebanyak RM41.33 juta antara 3 dan 10 Jun 2003.

Dia turut menghadapi 10 tuduhan bersubahat dengan pekerjanya, Yusaini Wan Abi Sabian, 42, iaitu memalsukan surat perjanjian Safire Pharmaceuticals yang setiap satunya bernilai AS$1.2 juta (RM4.56 juta), mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dr Hamimah gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen berkenaan.

Dalam penghakimannya, Ravinthran berkata, mahkamah berpendapat dengan jumlah wang yang terbabit dan tahap kesalahan pihak perayu (Dr Hamimah), hukuman dijatuhkan tidak dapat dianggap sebagai sesuatu yang berlebihan.

"Kami mendapati hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen adalah munasabah dengan keadaan kes," katanya.

Hakim itu berkata, mahkamah mendapati tiada merit dalam hujah pembelaan bahawa pihak pendakwaan tidak memanggil saksi tertentu, termasuk saksi dari luar negara untuk membuktikan 'jejak wang' yang tepat melalui mana dana terbabit sampai ke Malaysia.

"Pegawai bank tempatan memberi keterangan bahawa dana terbabit akhirnya sampai ke Malaysia melalui Goodrich Overseas Group of Hong Kong ke dalam akaun bank di Malaysia yang dikendalikan oleh Hendry Toon dan perayu.

"Tambahan pula, pihak pendakwaan membuktikan bahawa wang yang dihantar ke Malaysia adalah hasil 'aktiviti haram' dan perayu dengan sengaja menerima sebahagian besar daripada hasil untuk menjelaskan hutang syarikat yang sebahagiannya dimilikinya," kata Ravinthran.

Dr Hamimah diwakili peguam Harvinderjit Singh, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, mewakili pendakwaan.

– BERNAMA

Berita Harian X