Isnin, 25 Mei 2020 | 9:45pm
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

2 ditahan selepas maki, bergelut dengan polis

GOMBAK: Dua lelaki ditahan selepas memaki menggunakan kata-kata kesat dan bergelut dengan polis untuk cuba meloloskan diri di Jalan 26, Taman Selayang Jaya, Selayang, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata terdahulu sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang sedang membuat rondaan di lokasi terbabit, menahan sebuah motosikal ditunggang dua lelaki untuk pemeriksaan, kira-kira jam 1 pagi.

"Ketika ditahan, pembonceng motosikal enggan bekerjasama dengan pihak polis, selain memaki hamun dengan perkataan 'polis babi'.

"Suspek juga bergelut dengan polis untuk melepaskan diri, namun berjaya ditangkap," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dilakukan, polis menemui dua peket dadah dipercayai jenis syabu pada pembonceng motosikal terbabit.

"Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan pula mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kedua-dua suspek berusia 37 dan 33 tahun, masing-masing bekerja sebagai juruteknik elektrik dan pembuat cincin, kini direman tiga hari hingga Rabu ini," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X