Sabtu, 23 Mei 2020 | 3:08pm
Pemutar skru dirampas polis selepas dibaling hingga melekat pada pipi seorang wanita oleh abang iparnya. - NSTP/Juwan Riduan
Pemutar skru dirampas polis selepas dibaling hingga melekat pada pipi seorang wanita oleh abang iparnya. - NSTP/Juwan Riduan

Pemutar skru 'melekat' di pipi akibat dibaling abang ipar

KOTA KINABALU: Seorang wanita terpaksa menanggung derita selepas pipi kanannya hampir ditembusi pemutar skru dibaling abang iparnya dalam kejadian di Kampung Tanjung Aru Lama di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa berusia 24 tahun, dikatakan baru selesai mandi dan terdengar bunyi bising dari bilik tidur kakaknya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata mangsa kemudian menjenguk ke dalam bilik tidur kakaknya dan bertanyakan apa yang berlaku kerana bimbing keselamatan kakaknya.

"Abang ipar mangsa kemudian tidak puas hati dengan tindakan mangsa kerana masuk campur urusan rumah tangganya.

"Disebabkan itu, abang iparnya (suspek) bertindak membaling pemutar skru ke arah mangsa dan terkena pada pipi kanannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa kemudian menarik pemutar skru dari pipinya menyebabkan banyak darah yang keluar.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan dan pemeriksaan pada pipi mangsa didapati luka yang dalam.

"Pada hari yang sama kejadian, jam 8.30 malam, suspek berusia 34 tahun itu ditahan dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, alat pemutar skru yang digunakan ketika kejadian turut dirampas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya," katanya.

Berita Harian X