Sabtu, 23 Mei 2020 | 12:44pm
Perodua Kancil dipandu lelaki warga emas yang parah akibat tersepit selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Halban.-Foto Ihsan Bomba
Perodua Kancil dipandu lelaki warga emas yang parah akibat tersepit selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Halban.-Foto Ihsan Bomba

Warga emas parah tersepit dalam kereta

CHANGLUN: Anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan seorang lelaki warga emas yang tersepit dalam kereta Perodua Kancil terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Halban, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, mangsa, Horkean Kaeng, 64, parah di bahagian badan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bahagian Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain,
berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam tiba di lokasi jam 9.08 pagi.

"Setibanya di lokasi didapati berlaku kemalangan membabitkan dua kereta iaitu Proton Saga dan Perodua Kancil.

"Terdapat seorang mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa 10 minit selepas sampai di lokasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, bagaimanapun pemandu Proton Saga tiada di lokasi dipercayai melarikan diri.

Beliau berkata, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Jitra dengan menaiki ambulan.

Berita Harian X