Sabtu, 23 Mei 2020 | 10:20am

Macau Scam: Peniaga wanita kerugian RM859,500

BERA: Seorang peniaga kerugian RM859,500 dipercayai terperdaya dengan sindiket Macau Scam yang mendakwa kononnya mangsa terbabit kes pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata terdahulu wanita berusia 53 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa adalah kakitangan Pos Laju Kuala Lumpur, 24 April lalu.

Beliau berkata, suspek memaklumkan kononnya ada bungkusan dipos dari Sabah ke Kuantan telah ditahan oleh kastam kerana mengandungi kad pengenalan dan kad kredit milik wanita itu.

"Mangsa kemudian dihubungi oleh seorang lagi suspek kononnya pegawai polis bernama Inspektor Ku," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Wazir berkata, suspek mendakwa kononnya hasil semakan terhadap kad pengenalan mendapati wanita itu terbabit kes pengubahan wang haram dan dadah.

"Suspek juga menyuruh mangsa membuka akaun bank baharu dengan memberikan nombor telefon untuk mendaftar akaun berkenaan.

"Selepas membuka akaun itu, mangsa memindahkan wang RM509,500 ke dalam akaun baharu berkenaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa juga memindahkan wang RM350,000 ke dalam lapan akaun bank yang berbeza dengan melakukan 75 kali transaksi.

"Semua wang berkenaan didakwa kononnya ingin diperiksa oleh polis kerana mangsa terbabit kes penggubahan wang haram," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa kemudian mengesyaki dirinya ditipu lalu membuat laporan di Balai Polis Triang, di sini, semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan," katanya.

Berita Harian X