X
Khamis, 21 Mei 2020 | 8:09pm

Pengurusan tidak pernah lihat akaun PSOSL

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak pernah ditunjukkan dengan penyata kewangan atau penyata akaun teraudit Petrosaudi Oil Services Ltd (PSOSL) selepas pemerolehan saham dalam syarikat itu awal 2012.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata perolehan saham berkenaan adalah sebahagian daripada proses pencairan Nota Murabaha 1MDB melalui syarikat usaha sama dengan PetroSaudi International (PSI).

Bagaimanapun katanya, ia dijual kepada Bridge Partners International Investments.

PSOSL adalah anak syarikat PSI

Menurut saksi pendakwaan kesembilan itu, penjualan 49 peratus saham 1MDB dalam PSOSL turut membabitkan peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low dan peguam 1MDB Jasmine Loo.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian mencadangkan kepada Shahrol Azral bahawa ia adalah penipuan oleh Jho Low, bagaimanapun ahli pernigaan itu tidak dapat menjalankan operasi sendirian, sebaliknya mendapat bantuan daripada saksi dan Loo.

Shahrol Azral bagaimanapun menafikan cadangan peguam itu.

Selanjutnya Muhammad Shafee mencadangkan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak mungkin terbabit dalam penipuan itu kerana beliau turut diperdayakan oleh Jho Low.

Katanya, Najib perlu meletakkan kepercayaan kepada pengurusan syarikat dan tidak boleh mengawal keseluruhan hal ehwal syarikat.

Saksi bagaimanapun menjawab, beliau tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas apa yang diketahui dan tidak diketahui oleh Najib.

Sementara itu, Muhammad Shafee menyoal saksi mengenai pertukaran nama syarikat usaha sama 1MDB dan PSI iaitu 1MDB-PSI JV yang ditukar kepada PetroSaudi Holdings BVI.

Ditanya sama ada saksi memiliki salinan sijil yang menunjukkan ia adalah pertukaran nama bagi usaha sama dan bukannya bagi syarikat lain, Shahrol Azral menjawab, "Tidak ada."

Shahrol Azral berkata, beliau juga tidak pernah melihat sijil berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 4 Jun ini.

Berita Harian X