Rabu, 20 Mei 2020 | 5:42pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Latar belakang rakan bapa Jho Low tidak diperiksa - Saksi

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak pernah melakukan pemeriksaan latar belakang terhadap seorang pengarah bebasnya kerana individu berkenaan dilantik oleh Datuk Seri Najib Razak, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Saksi pendakwaan kesembilan, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata nama Tan Sri Ong Gim Huat pada mulanya disebut oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Mengikut laporan portal berita perniagaan yang dikemukakan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada saksi, menunjukkan Gim Huat adalah sahabat dan rakan perniagaan kepada Tan Sri Larry Low Hock Peng, iaitu bapa Jho Low.

Saksi itu yang menjawab soalan peguam Muhammad Shafee pada sesi pemeriksaan balas, berkata bagaimanapun pelantikan pengarah hanya boleh dibuat oleh Najib selaku pemegang saham tunggal 1MDB melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

"Lembaga Pengarah bertanggungjawab untuk membuat keputusan yang betul, bagaimanapun hak untuk melantik adalah terletak di tangan Datuk Seri Najib.

"Saya tidak pernah melakukan proses ketekunan wajar (due diligence) terhadap Gim Huat kerana Datuk Seri mahukan beliau.

"Sepanjang menjadi CEO daripada tahun 2009 sehingga tahun 2013, Tan Sri Ong tidak pernah menunjukkan tanda bahawa beliau melihat kepada kepentingan lain, selain daripada kepentingan kepada syarikat," katanya.

Menjawab soalan Muhammad Shafee mengenai hubungan di antara Hock Peng dan Gim Huat, saksi itu berkata beliau tidak menyedari perhubungan antara kedua individu itu.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan kepada saksi, bahawa jika diperiksa latar belakang Gim Huat, akan mendedahkan bahawa beliau (Gim Huat) bukan 'bebas' sepenuhnya, sebaliknya seorang yang berpihak.

"Saya mencadangkan kepada kamu bahawa fakta mengenai hubungan ini menunjukkan bahawa Gim Huat tidak boleh menjadi pengarah bebas," katanya.

Shahrol Azral bagaimanapun menjawab, bahawa beliau tidak berada dalam kedudukan yang boleh memberikan komen mengenainya.

Sementara itu, saksi berkata beliau berat hati untuk mendedahkan dokumen usaha sama antara 1MDB-PetroSaudi International JV kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana bimbang ia jatuh ke tangan pembangkang.

Shahrol Azral berkata, apabila dokumen sudah menjadi dokumen awam, pihak pembangkang boleh mengambil dan memilih apa yang hendak diberikan kepada media.

"Jika saya masih ingat, saya mendesak dokumen itu diberikan kepada PAC, dan kita perlu cuba untuk mematuhi sebaik mungkin, bagaimanapun ketika itu syarikat usaha sama tidak lagi dikawal oleh kita," katanya.

Shahrol Azral bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa dokumen itu akan mendedahkan beliau dan Jho Low serta beberapa pegawai kanan 1MDB lain berkonspirasi untuk menyeleweng berbilion dana 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Berita Harian X