Jumaat, 15 Mei 2020 | 12:03pm
Antara individu ditahan selepas positif dadah jenis syabu dan ganja dalam operasi khas AADK Sabah. - Foto NSTP/ Juwan Riduan
Antara individu ditahan selepas positif dadah jenis syabu dan ganja dalam operasi khas AADK Sabah. - Foto NSTP/ Juwan Riduan

AADK Sabah gempur 9 daerah, 61 penagih ditahan

KOTA KINABALU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah menahan 61 individu disyaki penagih dadah termasuk pasangan suami isteri dalam Ops Khas di beberapa daerah sekitar negeri ini.

Pengarahnya, Abdul Hamediee Ibrahim, berkata mereka antara 66 yang diperiksa sepanjang operasi bermula 6 Mei lalu hingga semalam, dengan majoritinya disahkan positif syabu, selain ganja.

"Semua yang ditahan membabitkan 58 lelaki dan tiga wanita berusia antara 17 hingga 61 tahun," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Abdul Hamediee berkata, operasi digerakkan pihaknya membabitkan sembilan daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Keningau, Tuaran, Beaufort, Kudat, Ranau dan Labuan.

"Disebabkan operasi dilakukan ketika PKP, setiap anggota AADK memakai pelitup muka, selain menggunakan cecair basmi kuman dan kelengkapan bagi mengelak risiko jangkitan wabak.

"Semua yang diperiksa dan ditahan turut diwajib menjalani ujian suhu untuk mengenal pasti keadaan kesihatan mereka," katanya.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Berita Harian X