Khamis, 7 Mei 2020 | 6:25pm
SEJUMLAH minyak masak dan tepung gandum bersubsidi ditemui dalam dua lori yang ditahan di pintu keluar Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang. - Ihsan KPDNHEP
SEJUMLAH minyak masak dan tepung gandum bersubsidi ditemui dalam dua lori yang ditahan di pintu keluar Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang. - Ihsan KPDNHEP

Sembunyi minyak masak, tepung seludup bawah barang makanan

RANTAU PANJANG: Menyusun barangan kawalan yang cuba diseludup di bawah pelbagai jenis barangan makanan di belakang lori, menjadi modus operandi sindiket bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa di sini.

Bagaimanapun cubaan menyeludup 6,936 kilogram (kg) minyak masak dan 960 kg tepung gandum ke Thailand petang semalam gagal apabila taktik itu dipatahkan pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri, Azanizam Affendi Juri, berkata muatan barang kawalan yang dimuatkan dalam dua lori itu, ketika ditahan di pintu keluar Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang kira-kira jam 4 petang semalam.

Beliau berkata, dalam operasi bersepadu hasil kerjasama anggota penguat kuasa KPDNHEP bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 serta Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Pengkalan Kubor, mengesan dua lori sarat pelbagai jenis barangan makanan ingin keluar dari pintu sempadan negara secara sah.

"Hasil risikan yang dijalankan, kami dapat mengesan taktik yang dijalankan iaitu menyorok sejumlah barang kawalan di bawah muatan barangan makanan terbabit.

"Dalam lori pertama, pasukan operasi mengesan 3,536 kg minyak masak bersubsidi kerajaan yang cuba dibawa ke negara jiran, manakala lori kedua pula membawa 3,400kg minyak masak ditemui bersama 960kg tepung gandum.

"Kesemua 6,936 kg minyak masak itu dianggarkan bernilai RM17,340 manakala 960 kg tepung gandum pula bernilai RM1,308.18," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azanizam berkata, cubaan menyeludup itu dibuat susulan permintaan dari negara jiran dan barangan kawalan itu dijual pada harga tinggi di sana iaitu RM60 hingga RM70 sekotak minyak masak mengandungi 17kg berbanding di sini hanya RM42.50.

Katanya, kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.

"Hasil Operasi Bersepadu ini berjaya menghasilkan dua tindakan kes yang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Berita Harian X