Rabu, 6 Mei 2020 | 7:05pm
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

9 warga asing lari pusat kuarantin IPG Bahasa Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Polis sedang giat mengesan sembilan lelaki warga asing yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin COVID-19 di Institut Pendidikan Guru Kampus (IPG) Bahasa Antarabangsa, di sini, baru-baru ini.

Enam warga Indonesia dan tiga lagi Bangladesh disahkan negatif COVID-19 selepas menjalani ujian kesihatan namun ditempatkan di pusat kuarantin itu sebagai langkah berjaga-jaga mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata hasil siasatan mendapati terdapat kerosakan di pagar kawasan itu dan dipercayai menjadi laluan semua suspek meloloskan diri.

"Polis Kuala Lumpur menerima tiga laporan yang dibuat wakil pusat kuarantin itu berhubung kejadian membabitkan warga asing yang juga buruh binaan.

"Kejadian itu dikatakan disedari ketika pengadu dan doktor yang bertugas membuat rondaan bagi memeriksa pesakit.

"Usaha mencari mereka dijalankan oleh polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan kerjasama KKM setakat ini tidak membuahkan hasil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, tahap pemantauan dan pengawalan di pusat kuarantin itu akan dipertingkatkan termasuk penambahan jumlah anggota keselamatan bertugas bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

"Kawasan pagar yang dirosakkan dan dipercayai menjadi laluan warga asing itu meloloskan diri turut dipasang kawat berduri dan lampu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 (Akta 342).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan terus mengamalkan langkah pencegahan seperti disarankan KKM bagi mengawal penularan COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X