Rabu, 6 Mei 2020 | 10:55am

Simpanan lebih RM56,000 lesap ke tangan Macau Scam

KUANTAN: Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis di sini semalam, atas dakwaan kehilangan wang simpanan RM56,560 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam, bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa lelaki berusia 48 tahun itu dihubungi seorang wanita yang mendakwa bekerja di pejabat penghantaran barangan pada 25 April lalu.

"Wanita itu mendakwa mangsa ada menghantar bungkusan ke Sabah yang mengandungi kad pengenalan, lapan keping kad pengeluaran tunai automatik (ATM) dan satu buku cek.

"Mangsa menafikan perkara itu sebelum wanita berkenaan menyambung panggilan, kononnya kepada seorang pegawai polis di Sabah untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, 'pegawai polis' berkenaan mendakwa mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram.

Bimbang ditangkap, kaanya, mangsa mengikut arahan 'pegawai polis' itu untuk memindahkan wang simpanannya ke satu akaun diberikan menerusi dua transaksi pada 28 April lalu, kononnya bagi tujuan audit oleh pihak polis.

"Suspek mendakwa audit itu akan mengambil masa seminggu dan wang akan dipulangkan.

"Sehingga semalam, ahli perniagaan itu tidak menerima wang berkenaan, selain gagal menghubungi 'pegawai' terbabit," katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohd Wazir berkata, ahli perniagaan itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X