Sabtu, 2 Mei 2020 | 8:57pm
Polis menahan 19 warga China dalam serbuan berasingan di dua premis mewah yang menjalankan kegiatan perjudian haram secara dalam talian secara di Jalan Raja Chulan Kuala Lumpur, Selasa lalu. - Foto ihsan PDRM
Polis menahan 19 warga China dalam serbuan berasingan di dua premis mewah yang menjalankan kegiatan perjudian haram secara dalam talian secara di Jalan Raja Chulan Kuala Lumpur, Selasa lalu. - Foto ihsan PDRM

Sindiket judi dalam talian raih untung RM4.5 juta sebulan, tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menahan 19 warga China dalam serbuan berasingan di dua premis mewah yang menjalankan kegiatan perjudian haram dalam talian secara di Jalan Raja Chulan di sini, Selasa lalu.

Serbuan pertama oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada jam 3 petang, 17 warga China termasuk seorang wanita berusia berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata menerusi serbuan itu, polis merampas sebuah komputer riba, 116 telefon bimbit serta dua unit modem internet.

Antara barangan dirampas termasuk 116 telefon bimbit, komputer riba dan dua unit modem internet daripada sindiket judi haram warga China. - Foto ihsan PDRM
Antara barangan dirampas termasuk 116 telefon bimbit, komputer riba dan dua unit modem internet daripada sindiket judi haram warga China. - Foto ihsan PDRM

Sejam kemudian, sebuah lagi premis di situ diserbu oleh sepasukan anggota D7 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan menahan dua lelaki warga China berusia 25 dan 30 tahun.

"Polis turut merampas dua komputer riba dan dua telefon bimbit. Semua peralatan yang dirampas dalam dua serbuan itu dianggarkan bernilai RM200,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil pemeriksaan semua suspek didapati masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial yang diuruskan oleh majikan masing-masing.

Siasatan mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti mempromosi perjudian saham dan mata wang kripto di pasaran negara China menggunakan aplikasi WeChat.

"Sindiket yang dipercayai sudah beroperasi hampir dua bulan dianggarkan mampu mengaut keuntungan harian mencecah RM150,000 bersamaan RM4.5 juta sebulan," kata Mazlan.

Tambah beliau, dua premis mewah yang digunakan sebagai pusat promosi perjudian haram dalam talian itu disewa dengan kadar RM6,000 sebulan.

"Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

"Mereka direman 14 hari hingga 12 Mei depan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Dalam pada itu, polis menasihati orang ramai menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan perjudian haram ini kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur serta pelanggan yang bermain atau berada di dalam premis yang menjalankan kegiatan perjudian haram ini.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana–mana balai polis berdekatan," katanya.

Berita Harian X