Sabtu, 25 April 2020 | 11:38am

Kerani wanita rugi RM13,788 ditipu sindiket skim cabutan bertuah

KUANTAN: Hasrat seorang kerani wanita untuk menuntut hadiah kemenangan wang tunai RM8,888 lebur kerana dia terpedaya dengan sindiket cabutan bertuah di Bentong, Selasa lalu.

Malah, mangsa berusia 25 tahun kerugian RM13,788 selepas berkongsi maklumat peribadi perbankan kononnya bagi urusan penerimaan hadiah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek lelaki yang memaklumkan dirinya terpilih menyertai cabutan bertuah anjuran sebuah syarikat penyedia e-dompet, Selasa lalu.

"Pada hari yang sama, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan memberitahu dirinya telah memenangi wang tunai berjumlah RM8,888 yang akan dikreditkan ke dalam akaun bank mangsa dalam tempoh lima hari.

"Bagi tujuan itu, mangsa diminta menyerahkan semua maklumat peribadi termasuk kata laluan perbankan dalam talian selain diingatkan untuk berkongsi kod pengesahan transaksi (TAC) jika dihantar pihak bank," katanya di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang teruja dengan 'kemenangan' itu telah menuruti semua arahan suspek sebelum menyedari dirinya ditipu semalam, selepas membuat semakan akaun simpanannya dan mendapati terdapat banyak transaksi pemindahan wang tanpa pengetahuannya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam.

– BERNAMA

Berita Harian X