Jumaat, 24 April 2020 | 5:31pm

Guna kurier hantar 'paket minuman dadah' ke Sabah, Sarawak

PETALING JAYA: Satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan khidmat kurier untuk menyeludup dadah ke Sabah dan Sarawak tumpas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata tiga anggota sindiket berjaya diberkas dan pelbagai jenis dadah seberat lebih 9 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM181,790 berjaya dirampas.

Nik Ezanee berkata, bertindak hasil maklumat risikan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya membuat pemeriksaan di sebuah syarikat kurier di Jalan Tandang di sini, kira-kira jam 3.20 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan dan maklumat yang dikumpul itu, kita berjaya menahan seorang lelaki di sebuah lokasi di Sungai Way, kira-kira jam 10 malam dan sejam selepas itu, kita tahan seorang wanita Vietnam di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Dalam tangkapan di Sungai Way, kita rampas satu plastik dipercayai berisi dadah jenis ketamin seberat 1 kg dan 800 biji pil disyaki Erimin 5 yang disembunyikan di dalam alat pembesar suara yang diubah suai.

"Kita turut merampas pelbagai dadah menerusi tangkapan kedua iaitu 300 gram ketamin, pil Erimin 5 (500 biji), pil Ecstacy (340 biji) dan kapsul disyaki berisi serbuk Ecstacy (100 biji)," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, katanya polis turut merampas 277 paket plastik ala serbuk minuman pelbagai label antaranya Joker, Tang Orange Juice, Superman Bizzaro, Tang Pine Apple Juice dan teh tarik pra campuran dengan keseluruhan berat lebih 6 kg daripada wanita Vietnam itu.

"Susulan tangkapan pertama dan kedua, kita berjaya membuat tangkapan ketiga di Taman Klang Utama, Klang kira-kira jam 4 pagi tadi membabitkan seorang lelaki tempatan.

"Dalam tangkapan itu, kita rampas enam paket plastik dipercayai berisi dadah seberat 300 gram," katanya.

Menerusi tiga serbuan itu juga, katanya sejumlah wang tunai bernilai RM320,00 dipercayai hasil jualan dadah berjaya dirampas termasuk beberapa matawang asing serta barang kemas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM335,189.

"Kesemua suspek berusia antara 23 hingga 36 tahun kini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.

"Kita percayai modus operandi sindiket ini adalah mengedarkan dadah yang dipaketkan ala paket serbuk minuman untuk mengaburi mata pihak berkuasa serta menggunakan khidmat kurier untuk menghantar dadah ke Malaysia Timur," katanya lagi.

Katanya, siasatan masih diteruskan untuk mengesan saki baki ahli sindiket ini serta sindiket pengedaran dadah yang lain yang aktif di daerah ini.

Berita Harian X