Rabu, 22 April 2020 | 4:00pm
Polis menahan 25 warga China kerana disyaki mengendalikan judi atas talian, dalam serbuan di kediaman dekat Ukay Heights, Ampang, Selangor. - Ihsan JSJ Bukit Aman
Polis menahan 25 warga China kerana disyaki mengendalikan judi atas talian, dalam serbuan di kediaman dekat Ukay Heights, Ampang, Selangor. - Ihsan JSJ Bukit Aman

Bukit Aman gempur sindiket judi online

KUALA LUMPUR: Polis menahan 25 warga China kerana disyaki mengendalikan judi atas talian, dalam serbuan di kediaman dekat Ukay Heights, Ampang, Selangor.

Serbuan dijalankan jam 11.15 pagi tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman diketuai oleh Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata sindiket yang beroperasi sejak tiga bulan lalu ini menyasarkan mangsa di negara China.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah menganjurkan permainan judi serta pertaruhan dalam talian serta mempromosinya dalam aplikasi WeChat dan ‘Text Message’.

“Permainan yang ditawarkan ialah Lucky Draw Canada 28 dan Beijing 28 berdasarkan angka ‘big’ dan ‘small’ dengan memperdaya sasaran atau kaki judi di negara China,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, permainan itu senang dimain dan peluang untuk menang tinggi, iaitu menggunakan Kod QR kepada pelanggan untuk mencuba nasib.

Antara warga China kerana disyaki mengendalikan judi atas talian. - Ihsan JSJ Bukit Aman
Antara warga China kerana disyaki mengendalikan judi atas talian. - Ihsan JSJ Bukit Aman

Telefon bimbit yang dirampas dalam serbuan. - Ihsan JSJ Bukit Aman
Telefon bimbit yang dirampas dalam serbuan. - Ihsan JSJ Bukit Aman

“Premis ini hanya digunakan untuk tujuan transaksi perjudian yang dipercayai dari negara China sahaja menggunakan mata wang Renminbi.

“Setakat ini pihak polis menganggarkan sindiket ini memperoleh kutipan sekitar RM135,000 sehari,” katanya.

Huzir berkata, antara barang yang dirampas ialah satu unit komputer untuk kawalan utama; 19 komputer riba; 74 telefon bimbit; dua unit router.

Katanya, semua yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun berasal dari Jianxi dan Guizhou, China, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X